Ketua jurulatih pasukan bola sepak Selangor, B Sathianathan. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pemain bola dinasihat selamatkan karier masing-masing

SHAH ALAM, 28 APRIL: Pemain bola sepak digesa memanfaatkan ruang yang ada dengan melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi bagi menyelamatkan karier mereka, kata presiden persatuan jurulatih bola
sepak Malaysia.

B Sathianathan berkata pembatalan Liga Malaysia (Liga-M) dan semua aktiviti bola sepak menjejaskan masa depan pemain yang mungkin akan mengalami masalah tunggakan gaji dan lebih buruk mereka digugurkan daripada pasukan, lapor Harian Metro.

“Saya melihat kesan lebih buruk akan melanda industri bola sepak negara jika saingan Liga-M dibatalkan kerana banyak pihak terkesan, sekarang ini segala keputusan terletak kepada Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Jika sekurang-kurangnya enam bulan aktiviti bola sepak tiada di negara ini, ia bakal menimbulkan pelbagai masalah lain nanti,” katanya hari ini.

Pada 25 April lalu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata saingan Liga-M tidak boleh dianjurkan walaupun selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

FAM dan MFL memutuskan untuk menunda kesemua perlawanan Liga-M dan aktiviti bola sepak di negara ini berkuat kuasa 16 Mac lalu susulan Covid-19, malah pasukan juga tidak dibenarkan mengadakan sesi latihan atau perlawanan persahabatan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.


Pengarang :