PBTSELANGOR

Pembersihan awam percuma, MDKS nafi kenakan bayaran

SHAH ALAM, 21 APRIL: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menafikan pihaknya mengenakan bayaran bagi melakukan nyahkuman di premis perniagaan.

MDKS menerusi kenyataannya hari ini, memaklumkan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu melakukan pembersihan awam di daerah berkenaan.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, katanya, Jabatan Kesihatan Persekitaran MDKS yang melaksanakan kerja pembersihan awam tidak mengenakan bayaran.

“Orang ramai diminta melaporkan kepada MDKS sekiranya didatangi individu mendakwa kakitangan MDKS, tetapi meminta bayaran untuk kerja pembersihan awam.

“MDKS akan membuat laporan polis agar tindakan tegas boleh dikenakan,” jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp kononnya terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyamar sebagai kakitangan MDKS meminta bayaran bagi melakukan pembersihan awam di premis perniagaan di daerah berkenaan.

Pemilik premis perniagaan berkenaaan membuat laporan kepada MDKS berhubung perkara itu.


Pengarang :