Premis penternakan ikan keli yang menjadi punca pencemaran di Sungai Selangor menyebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang pada 17 April lalu disita dan dirobohkan dalam satu operasi oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak
AGENSISELANGOR

Pemilik kolam ikan diarah pulih pencemaran selama lapan hari

SHAH ALAM, 23 APRIL: Pemilik premis kolam ternakan ikan yang menjadi punca pencemaran di Sungai Selangor pada 17 April lalu diarah melaksanakan kerja kawalan dan pemulihan bagi tempoh lapan hari bermula semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan memaklumkan tindakan dibuat mengikut Perintah Perlindungan Sumber Air di bawah Seksyen 122, Enakmen Luas 1999.

“Pada masa sama, Luas dan Pengurusan Air Selangor akan memantau rapi kerja pemulihan kualiti air kolam tersebut melalui kaedah pencairan air kolam menggunakan karbon aktif,” katanya.

Luas turut menempatkan pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi tempoh 24 jam bersama penguat kuasa untuk memastikan tiada pencemaran berlaku sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan musim perayaan yang bakal tiba.

Sementara itu, agensi tersebut memaklumkan premis terbabit di Hulu Selangor dirobohkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak pada 20 April lalu.

Luas memaklumkan tiga struktur yang dirobohkan merangkumi bangsal pengumpulan ikan, stor simpanan barang dan tempat pemprosesan ikan.

“Pada 18 April, PDT Gombak mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965 kepada pemilik premis atas kesalahan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.

“Terdapat sekitar 15 kolam penternakan ikan keli dibina oleh premis tersebut tetapi hanya 14 kolam yang masih aktif,” kata agensi itu.

Operasi membabitkan 80 anggota terdiri daripada PDT Gombak, Luas, Majlis Perbandaran Selayang, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar dan Polis.


Pengarang :