Salah sebuah pangsapuri yang menawarkan Skim Smart Sewa di Jalan Kapar, Klang. Foto SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Penangguhan Skim Smart Sewa secara automatik mulai bulan ini

SHAH ALAM, 5 APRIL: Peserta Skim Smart Sewa layak secara automatik menikmati pengecualian bayaran sewa tiga bulan mulai bulan ini, kata EXCO perumahan.

Haniza Mohamed Talha berkata ansuran tunggakan akan mula dibayar pada Julai, merangkumi pembayaran sewa semasa bersama tambahan tunggakan tiga bulan tersebut sehingga selesai.

“Bagaimanapun, bayaran ansuran adalah bergantung kepada pihak penyewa sehinggalah selesai semua tunggakan tersebut,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Haniza berkata mereka yang tetap mahu membuat bayaran bulanan walaupun boleh ditangguh, perlu memohon kepada Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dan layak menikmati pulangan tunai 30 peratus.

Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak berupaya memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.

Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penangguhan bayaran sewa tiga bulan bagi 2,700 peserta Skim Smart Sewa dengan peruntukan RM600,000.


Pengarang :