Abdul Halem Mat Som. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pencemaran bau di Sungai Selangor, dijangka pulih 12 tengah hari

SHAH ALAM, 17 APRIL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghenti tugas di Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang pada jam 11 malam tadi, kata ketua komunikasi korporatnya.

Abdul Halem Mat Som berkata ia berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor namun proses pemulihan sedang dijalankan dan kesemua loji kembali beroperasi jam 6.30 pagi tadi.

“Tindakan pantas melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam alternatif (OPAK) di Bestari Jaya telah mempercepatkan aliran (flushing out) air tercemar ke hilir Sungai Selangor, sehingga tiada lagi pencemaran bau dikesan pada muka sauk keempat-empat LRA tersebut.

“Bagaimanapun gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di beberapa kawasan di tujuh wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan penurunan paras kolam utama di kawasan tersebut.

“Bekalan air dijangka pulih mulai jam 12 tengah hari ini secara berperingkat ke seluruh kawasan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan menyalurkan maklumat kawasan yang terlibat dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasinya termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

“Dalam tempoh ini pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah,” katanya.


Pengarang :