Pasukan polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya di kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Selayang pada hari keenam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan Covid-19 pada 23 MAC 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk Kuala Selangor kena patuh PKP elak diisytihar zon merah

SHAH ALAM, 15 APRIL: Penduduk Kuala Selangor perlu patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan daerah itu disenaraikan memasuki zon merah ketujuh di negeri ini akibat Covid-19.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi Twitter memaklumkan setakat jam 6.45 petang semalam, Kuala Selangor mencatatkan 34 kes positif wabak itu.

“Daerah Kuala Selangor mencatatkan 34 kes Covid-19, pematuhan PKP amat dituntut untuk elak menjadi daerah ketujuh dikategorikan zon merah di Selangor.

“Pesan pada keluarga dan orang sekeliling supaya disiplin dan jangan lewa,” tulis STFC.

Sementara itu, mengikut statistik Pusat Kesiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) Kebangsaan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam tempoh sama semalam, daerah Hulu Langat mencatatkan 433 kes positif Covid-19 diikuti Petaling (367), Klang (166), Gombak (137), Sepang (62) dan Hulu Selangor (48).

Dua lagi daerah iaitu Kuala Langat terdapat 27 kes manakala Sabak Bernam 22 kes. Jangkitan Covid-19 di kedua-dua daerah itu masih rendah dan penduduk di kawasan tersebut perlu berwaspada bagi mengelakkan ia meningkat.


Pengarang :