AGENDA NASIONAL

Penduduk Sabah, Sarawak boleh `terbang’ balik lepas kuarantin

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kementerian Pengangkutan (MOT) membenarkan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membawa penduduk Sabah dan Sarawak pulang ke negeri masing-masing.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu membabitkan penduduk kedua-dua negeri yang telah selesai menjalani proses kuarantin wajib 14 hari selepas tiba dari luar negara.

“Ramai bertanya dan mempersoalkan, sebenarnya mereka (dari Sabah dan Sarawak) yang dikuarantin di sini selepas pulang dari luar negara telah diizinkan keluar dan jika 1 Mei baru kita benarkan penerbangan, mereka terpaksa tinggal di sini dua minggu lagi.

“Maka MOT berpandangan perlu ada penerbangan pulang, kalau penerbangan itu hanya dijadualkan beberapa hari selepas keluar dari pusat kuarantin, mereka disediakan satu tempat menunggu di KLIA sebelum menaiki pesawat.

“Ada juga cadangan untuk penerbangan dua kali seminggu dan berdasarkan keperluan, kalau ramai yang terkandas nak balik (ke Sabah dan Sarawak) dan ada permintaan, MOT boleh membenarkan penerbangan tambahan,” katanya.

Dalam sidang media sama, Ismail Sabri yang mewakili kerajaan mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang patuh Perintah Kawalan Pergerakan sejak fasa pertama dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

“Kerajaan juga berterima kasih kepada petugas barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, pasukan keselamatan, pihak berkuasa tempatan, media serta petugas belakang tabir seperti pekerja pembersihan,” katanya.


Pengarang :