ADNSELANGOR

Penduduk Sekinchan patuh PKP, banteras Covid-19 – ADN

SHAH ALAM, 5 APRIL: Pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua susulan penularan Covid-19 di Sekinchan menunjukkan peningkatan berbanding tempoh dua minggu sebelum ini, kata ahli dewan negerinya (ADN).

Ng Suee Lim berkata perkembangan positif itu membuktikan kesedaran penduduk untuk bersama membantu kerajaan mengekang ancaman pandemik tersebut.

“Fasa pertama PKP dilihat agak longgar, malah ramai yang tidak mengendahkan dan mereka langsung tiada kesedaran tentang bahaya wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, memasuki fasa kedua PKP mereka yang pada awalnya degil mula patuh kerana jangkitan ini berada pada tahap serius dan bukan lagi perkara main-main,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan ahli majlis, anggota penguat kuasa dan pasukan sukarelawan untuk melakukan pemantauan di lokasi tumpuan awam di daerah ini.

Katanya, individu atau pihak yang dikesan melanggar arahan PKP akan diberi nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan tegas dikenakan.

“Kedai runcit dan premis makanan di kawasan pekan dipantau sepanjang masa dengan memastikan pengunjung yang datang membeli makanan menjarakkan diri dan tidak berkumpul di satu tempat sehingga wujud suasana terlalu ramai.

“Pengunjung yang datang ke pasar-pasar awam pula akan menjalani pemeriksaan suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memulakan urusan pembelian,” katanya.


Pengarang :