Dato’ Seri Amirudin Shari melawat Bilik Gerakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah, Batu Caves pada 25 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk Selayang Baru mula proses saringan Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Penduduk warga tempatan dan warga asing yang bekerja serta tinggal di sekitar Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21 di sini, mula menjalani saringan Covid-19.

Rata-rata penduduk yang terlibat menjalani saringan petang ini ialah pekerja pasar raya berhampiran, pekerja premis perniagaan dan penghuni kediaman di kawasan itu.

Kesemua jalan di kawasan itu, yang kebiasaaannya menjadi tumpuan masyarakat, kini lengang selepas diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes Covid-19 di lokasi berkenaan.

Tinjauan Bernama di lokasi setakat 5 petang ini mendapati kawasan berkenaan telah dipagar dengan kawat berduri setinggi semeter serta penghadang jalan di kesemua laluan utama.

Kawat berduri juga diletakkan di beberapa lokasi yang dipercayai menjadi ‘lorong tikus’ untuk meninggalkan kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata pemasangan pagar kawat berduri itu dilakukan mulai hari ini selepas kawasan itu diletakkan di bawah PKPD.

“Polis akan mengawal selia di setiap laluan keluar masuk kawasan PKPD yang terlibat malah juadah berbuka puasa juga disediakan kepada mereka yang bertugas di PKPD,” katanya kepada Bernama di sini.

Turut kelihatan pegawai dan anggota polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula mengawal kawasan seluas satu kilometer persegi itu dengan lebih ketat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dilaporkan berkata kerajaan memutuskan untuk meletakkan kawasan Selayang Baru, Gombak di Selangor di bawah status PKPD mulai hari ini sehingga 3 Mei.

Keputusan untuk melaksanakan arahan PKPD ketujuh itu dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan, melibatkan enam parcel yang dikenal pasti seperti berikut:

Zon A : Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Gombak, Selangor
Zon B : Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru, Gombak, Selangor
Zon C : Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru, Gombak, Selangor
Zon D : Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru, Gombak, Selangor
Zon E : Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru, Gombak, Selangor
Zon F : Blok A, B dan C, Selayang Makmur, Gombak, Selangor

– BERNAMA


Pengarang :