Dato’ Seri Amirudin Shari melihat peta kawasan yang terlibat dalam Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) Selayang di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah, Batu Caves pada 25 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk Selayang Baru termasuk warga asing akan disaring – MB

SELAYANG, 25 APRIL: Kira-kira 3,000 penduduk termasuk warga asing akan disaring bagi mengenalpasti kes Covid-19 susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang meletakkan Selayang Baru dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Setuju keputusan PKPD dilaksanakan di kawasan itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, saringan akan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor pada kadar segera.

“Langkah (PKPD) dibuat MKN itu bagi mengelak penularan wabak dan wujudnya kluster rumah kongsi.

“Pesanan saya kepada penduduk sekeliling, saya mohon maaf jika terdapat sebarang kesukaran tetapi saya kira ini perlu dilakukan demi memutuskan rantaian Covid-19.

“Mungkin ada yang kurang selesa tetapi saya dimaklumkan majlis keselamatan daerah dan semua pegawai sudah mula mengedarkan makanan mulai tengah hari tadi dan petang ini,” katanya selepas melawat Bilik Gerakan PKPD di Dewan Orang Ramai Selayang Baru hari ini.

Beliau berkata warga asing yang dikenal pasti di sini berasal dari Myanmar, India, Nepal, Indonesia dan Bangladesh serta mempunyai hubungan dengan Pasar Borong Kuala Lumpur selain tinggal beramai-ramai dalam sebuah rumah.

Enam zon di Selayang Baru diisytiharkan kawasan PKPD bermula hari ini sehingga 3 Mei 2020.


Pengarang :