Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia melakukan kerja semburan sanitasi di sekitar kawasan sekatan jalan raya pada 5 April 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Lui Batu 21, Hulu Langat. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

Penduduk Sungai Liu diminta sedia jika kawalan ketat disambung

SHAH ALAM, 10 APRIL: Penduduk di Batu 21 hingga 24 Sungai Lui, Hulu Langat diminta bersedia kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilanjutkan, kata Ahli Dewan Negeri Dusun Tua.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata penduduk perlu menerima sebarang kemungkinan secara positif dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 di kawasan tersebut.

“Walau apa pun terjadi nanti sudah tentu kerajaan akan pastikan keperluan asas warga emas dan kanak-kanak cukup, begitu juga bekalan barangan kering atau basah.

“Saya minta penduduk beri kerjasama sepenuhnya, jika ada masalah yang memerlukan perhatian segera penduduk boleh terus maklumkan kepada saya melalui Facebook dan tindakan susulan akan segera dilakukan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

PKPD dikenakan di kawasan Batu 21 hingga 24, Sungai Lui pada 30 Mac lalu susulan terdapat 71 kes positif Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah di situ.

Berdasarkan data terbaharu Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis negeri sehingga 9 malam tadi, Hulu Langat mencatatkan kenaikan kes tertinggi iaitu 14.


Pengarang :