AGENSISELANGOR

Penerima sumbangan duit raya, zakat diumum dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 15 APRIL: Senarai penerima sumbangan duit raya dan agihan zakat Selangor bagi tahun ini akan diumumkan dalam masa terdekat, kata ketua divisyen komunikasi korporat agensi itu hari ini.

Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, pada masa ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam proses memuktamadkan senarai tersebut.

“Kita sedang dalam proses kumpul maklumat, mengenai bila dan bagaimana ia akan diagihkan LZS akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.

8 April lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama rakyat di masjid seluruh Selangor tahun ini.

Bagaimanapun, baginda tetap meneruskan sumbangan duit raya dan agihan zakat kepada asnaf serta golongan memerlukan yang disalurkan melalui akaun bank penerima.

Keputusan itu dibuat kerana mengambil kira faktor keselamatan susulan penularan Covid-19 yang belum dapat dibendung sepenuhnya sekali gus mengelak rakyat berisiko terkena jangkitan.


Pengarang :