Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak membuat pembelian panik barangan keperluan asas berikutan penularan wabak Covid-19. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Pengguna disaran elak pembelian panik ketika Ramadan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menasihatkan pengguna untuk tidak membuat pembelian panik sempena ketibaan Ramadan, kata pengarahnya.

Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini pengguna perlu mengamalkan pembelian secara berhemah dan mengikut keperluan.

“Esok dijangka umat Islam mula berpuasa namun KPDNHEP mengingatkan pengguna supaya bijak membuat penilaian dan berhemah dalam pembelian. Pihak kami akan sentiasa memantau bekalan barang keperluan supaya mencukupi dan tidak terputus bagi rakyat Selangor semasa PKP serta Ramadan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu beliau berkata sehingga Selasa lalu, pihaknya mengesan 55 kes peniaga melakukan kesalahan termasuk melanggar Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.

Katanya, sejumlah RM8,500 kompaun dikeluarkan kepada peniaga kerana kesalahan menaikkan harga barang, tiada tanda harga dan tanda harga tidak jelas.

“Sejak pelaksanaan PKP hingga Ahad lalu, kita menerima 1,162 aduan yang mana 60 peratus adalah berkenaan perihal harga barangan dan susulan itu tindakan segera diambil termasuk melakukan siasatan,” katanya.


Pengarang :