Pegawai perubatan mengenakan pakaian keselamatan ketika mengambil sampel pesakit yang disahkan positif Covid-19 di Seoul, Korea Selatan pada 10 Mac 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Penggunaan meningkat, KKM perlukan lebih peralatan perlindungan peribadi

PUTRAJAYA, 13 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) masih menggalakkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menderma peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan dalam merawat pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bekalan PPE bagi melindungi petugas barisan hadapan masih diperlukan kerana ia antara peralatan pakai buang yang digunakan setiap hari.

“Penggunaan PPE juga meningkat daripada dua hingga 10 kali ganda berbanding dengan keadaan normal,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu bekalan PPE yang dilaporkan masih kekurangan sehingga ia terpaksa dijahit sendiri oleh petugas KKM.

Dr Noor Hisham menjelaskan penggunaan PPE adalah setiap hari, berbeza dengan ventilator yang mencukupi setakat ini.

“Ventilator kita cukup, ada 956 unit, dah cukup tidak perlu ada pertambahan ventilator lagi. Tetapi tidak dengan PPE, NGO kalau nak derma, dermalah PPE kat kita (KKM). Kita masih terima PPE,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM mempunyai sistem pemeriksaan stok PPE di negeri-negeri dan hospital di seluruh negara.

Beliau berkata perolehan PPE adalah melalui tiga kaedah iaitu secara pukal dari negeri-negeri dan pusat, perolehan di peringkat negeri dan secara derma daripada NGO.

“Apa yang penting ialah kita kena berterusan untuk mendapatkan PPE daripada perolehan. Setakat ini, PPE ada, sekurang-kurangnya dua minggu kita boleh bertahan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM masih terus mendapatkan PPE daripada perolehan dan akan mengaturkan pengagihan kepada setiap negeri dan hospital.

Mengenai jumlah pesara kakitangan kesihatan yang menyertai barisan hadapan KKM, Dr Noor Hisham berkata setakat ini 65 pakar perubatan dan lebih 1,000 jururawat sudah berbuat demikian.

– BERNAMA


Pengarang :