Suasana di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) menghala ke Shah Alam yang memaparkan peringatan berkaitan wabak Covid-19 pada paparan elektronik di lebuh raya itu pada 16 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penghantar makanan diarah jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan pekerja penghantar makanan seluruh negara supaya menjalani saringan Covid-19, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata walaupun pihaknya masih belum mempunyai data berkenaan penghantar makanan yang positif wabak tersebut, namun langkah awal mesti diambil.

“Apa yang pasti kita akan laksanakan satu ujian untuk mereka iaitu ujian saringan, yang boleh dilaksanakan sama ada di klinik kesihatan atau swasta,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Namun beliau menyatakan kos ujian saringan akan ditanggung oleh syarikat pengendali makanan itu sendiri.

“Kalau mereka syarikat yang berdaftar, jadi jika syarikat tersebut bertanggungjawab kepada pekerja, maka pembayaran mungkin dibuat syarikat,” katanya.

“Tapi kita galakkan mereka datang ke klinik untuk disaring. Kita kena pastikan mereka selamat dalam menjalankan tugas.”

Terdahulu, menteri kanan (Kluster Keselamatan) memaklumkan penghantar makanan mesti menjalankan saringan kesihatan sebelum dibenarkan beroperasi sepanjang Ramadan.

Perkara tersebut kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diputuskan hari ini dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarang :