AGENSISELANGOR

Peniaga masih harap bazar Ramadan boleh diteruskan

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kerajaan Negeri diharap mempertimbangkan untuk membenarkan pembukaan bazar Ramadan di lokasi sesuai dengan kawalan pihak berkuasa, kata pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam/Klang.

Kamarul Nizam Razak berkata anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) boleh membantu melancarkan operasi bazar.

Kamarul Nizam Razak

Katanya, Kerajaan Negeri boleh menetapkan peraturan tertentu seperti penjarakan sosial, pelanggan membeli secara pandu lalu serta kawalan terhadap jumlah pelanggan yang boleh memasuki tapak bazar pada satu-satu masa.

“Lokasi bazar mestilah luas agar orang ramai dapat mengamalkan penjarakan sosial serta boleh diadakan laluan khusus pandu lalu, misalnya di Stadium Shah Alam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Kamarul Nizam yang berniaga di bazar Ramadan sekitar Shah Alam dan Klang sejak lebih 20 tahun lalu turut menyambut baik pelaksanaan e-Bazar Ramadan Selangor GRAB oleh Kerajaan Negeri.

Beliau berharap Kerajaan Negeri dapat membantu dari segi promosi secara besar-besaran kerana ada kawasan tertentu kurang menggunakan khidmat penghantaran makanan.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan e-Bazar Ramadan Selangor GRAB dengan 15 lokasi akan dipilih menjadi dapur berpusat bagi mengumpul peniaga memasak dan menjual juadah sepanjang Ramadan ini.


Pengarang :