ADNSELANGOR

Peniaga Pasar Pagi Taman Megah belum disah positif Covid-19

SHAH ALAM, 26 APRIL: Ahli Dewan Negeri Bandar Utama menafikan dakwaan dibuat hingga tular di media sosial mengenai seorang peniaga Pasar Pagi Taman Megah disahkan positif Covid-19.

Jamaliah Jamaluddin berkata peniaga terlibat dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani saringan awal dan pengesahan kes hanya ditentukan selepas ujian tambahan.

“Berdasarkan maklum balas, tindakan awal diambil Majlis Bandaraya Petaling Jaya adalah menutup Pasar Pagi Taman Megah bagi memberi laluan untuk kerja pembersihan dan pembasmian kuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini ahli keluarga dan individu berhubung rapat dengan pesakit perlu menjalani saringan manakala peniaga berdekatan juga digalakkan berbuat demikian.

Katanya, peniaga tersebut difahamkan bukan penduduk setempat dan hanya berniaga di pasar berkenaan.

“Tempoh penutupan pasar pagi itu juga masih belum ditetapkan sementara tiada arahan kedai berhampiran perlu ditutup,” katanya.


Pengarang :