AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penilaian sekolah rendah agama ikut peperiksaan tahun tiga hingga lima

SHAH ALAM, 25 APRIL: Jabatan Agama Islam (Jais) memutuskan penilaian terhadap 41,064 calon Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA) yang dibatalkan tahun ini dibuat mengikut keputusan peperiksaan dari tahun tiga hingga lima.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan media berkata penilaian juga dibuat berdasarkan keputusan Bahasa Arab setiap murid, laporan Lembaga Penilaian Holistik Bersepadu (IHAB), aktiviti kokurikulum dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).

PSRA adalah instrumen digunakan bagi permohonan kemasukan ke tingkatan satu Sekolah Agama Menengah (SAM) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) di bawah kelolaan Kerajaan Selangor.

Sementara itu, Mohd Shazihan berkata Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pula akan digunakan bagi menilai 227 calon Pentaksiran Hafazan al-Quran yang turut dibatalkan tahun ini.

Katanya, 4,745 calon peperiksan Sijil Kafa Menengah (SKM) yang turut dibatalkan tahun ini akan mendudukinya bersama calon lain daripada SAM, Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) dan MITS pada tahun depan.

“Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiq Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Tarbiyah Diniah (SMATD) ditangguhkan ke suku tahun pertama 2021 serta diuji mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran setiap mata pelajaran,” katanya.

Beliau berkata kaedah diperkenalkan bagi menghadapi perubahan itu sudah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dan telah diperkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Baginda juga berkenan bahawa Jais dan Kerajaan Selangor telah mengambil kira segala langkah perlu diselaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa termasuk faktor keselamatan murid, guru, ibu bapa dan masyarakat,” katanya.


Pengarang :