AGENDAJENAYAH

Penjaga parkir ditahan tipu jual penutup mulut

SEREMBAN, 15 APRIL: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan melibatkan penjualan penutup mulut dan hidung melalui laman sosial Facebook, melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah hampir RM62,000.

Suspek yang bekerja sebagai penjaga parkir kereta berusia 29 tahun itu, ditahan di Gombak, Selangor, semalam, dipercayai terlibat dengan tiga kes penipuan iaitu di Sungai Karangan, Kedah; Kota Bharu, Kelantan dan Senawang, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata bagi kes di Senawang, mangsa pada 22 Mac lepas telah berhubung dengan seorang wanita berkenaan pembelian penutup mulut dan hidung secara borong sebanyak 800 kotak dengan harga RM37,948.

“Wanita ini dipercayai orang tengah bagi urusan penjualan penutup mulut dan hidung. Mangsa telah membuat beberapa transaksi pembayaran pada 25 Mac hingga 31 Mac ke dalam akaun sama atas nama Muhammad Rais dengan jumlah keseluruhan transaksi berjumlah RM37,948.

“Selepas bayaran terakhir dibuat, suspek memberi maklum balas bayaran itu telah diterima. Pada 1 April pukul 4.50 petang, mangsa menerima satu mesej menyatakan pembelian terpaksa ditunda kerana suspek mengatakan dia telah ditipu untuk terima barang berkenaan dalam masa sebulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mangsa turut bertanyakan mengenai bayaran yang telah dibuat dan suspek menyatakan bayaran akan dikembalikan dalam masa sebulan dan terus mendiamkan diri.

“Mangsa syak bahawa dia telah ditipu dan kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.

Aibee berkata bagi kes di Sungai Karangan pula melibatkan kerugian berjumlah RM10,000 manakala kes di Kota Bharu melibatkan kerugian RM14,000.

Katanya, suspek kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :