Anggota tentera berkawal di hadapan Plaza City One pada 1 April 2020 selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berikutan penularan Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perintah Kawalan Pergerakan dilanjut sehingga 12 Mei – PM

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu iaitu bermula 29 April hingga 12 Mei bagi memastikan rantaian wabak Covid-19 terputus, kata Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dalam tempoh itu, kerajaan akan menilai data-data disediakan Kementerian Kesihatan untuk menentukan langkah-langkah seterusnya berikutan lanjutan PKP.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa PKP mungkin dilanjutkan lagi selepas ini. Ini bermakna saudara-saudari tidak boleh menyambut hari raya bersama keluarga dan bekerja seperti biasa,” kata beliau pada Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen malam ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata jika wabak Covid-19 terus mencatatkan penurunan ketara, kerajaan mungkin akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial.

“Saya ingin memberikan sedikit bayangan. Walaupun PKP mungkin dilanjutkan lagi selepas ini, syarikat dalam sektor tertentu akan dibenarkan beroperasi tetapi tertakluk kepada pematuhan syarat yang mementingkan keselamatan pekerja, penjarakan sosial dan kebersihan tempat bekerja.

“Malah, pada masa ini pun beberapa sektor ekonomi telah dibuka. Kerajaan akan menimbang untuk membuka beberapa sektor dan subsektor lain tetapi ia juga tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat bagi menjamin keselamatan pekerja,” kata beliau.

Kerajaan melaksanakan PKP fasa pertama pada 18 Mac hingga 31 Mac, PKP fasa kedua pada 1 April sehingga 14 April dan kini PKP fasa ketiga pada 15 April  hingga 28 April.


Pengarang :