Dato’ Seri Amirudin Shari menerima cek sumbangan Program Selangor Cyber Games bagi Tabung Covid-19 oleh Ketua Pegawai Eksekutif IO E-Sport Kenchi Yap di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 17 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONAL

Permainan siber kutip RM36,488, masuk Tabung Covid-19

SHAH ALAM, 17 APRIL: Penganjuran Kejohanan Permainan Siber Selangor (SCG) 2020 berjaya mengutip RM36,488 buat Tabung Covid-19 negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan dikumpul melalui yuran penyertaan dan sumbangan dalam talian sepanjang SCG 2020 berlangsung.

“Kerajaan Selangor menyambut baik sumbangan dan derma yang diberikan peminat e-sukan bagi sama-sama membantu menangani Covid-19,” kata beliau pada sidang media di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Menurut Amirudin, SGC yang dianjurkan sejak 2014 terus mendapat sokongan peminat e-sukan terutamanya golongan muda.

“Kita harap SGC akan terus menjadi penggerak pembangunan industri e-sukan di negara ini,” katanya.

Sebanyak 4,255 peserta menyertai SGC 2020 yang berlangsung 8 dan 9 April lalu dengan 512 pasukan mengambil bahagian dalam acara PUBG Mobile manakala 339 pasukan lagi menyertai acara Mobile Lagend: Bang Bang (MLBB).

Pasukan NED Brotherhood memenangi kategori PUBG Mobile manakala MLBB dimenangi pasukan Team Bosskurr.


Pengarang :