Anggota polis memeriksa surat kebenaran bekerja seorang pemandu di sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada 1 April 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permohonan gerakan rentas negeri dibuka mulai esok – Polis

SHAH ALAM, 25 APRIL: Permohonan pergerakan antara negeri semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dikemukakan mulai esok, 26 April menerusi aplikasi Gerak Malaysia yang boleh dimuat turun menggunakan telefon pintar, kata Datuk Huzir Mohamed.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkata permohonan yang dihantar perlu dikemas kini pada 29 April bagi pengesahan destinasi perjalanan dan semakan status permohonan boleh dibuat pada 1 Mei.

“Semua kebenaran adalah melalui aplikasi Gerak Malaysia. Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan aplikasi Gerak Malaysia, permohonan bertulis untuk mendapatkan kebenaran perjalanan boleh dibuat di balai polis berdekatan.

“Keutamaan perjalanan akan diberikan kepada pengguna aplikasi Gerak Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tempoh pergerakan yang dibenarkan adalah antara 1 hingga 3 Mei dan pengguna dikehendaki merancang perjalanan mengikut syarat ditetapkan.

Pengguna lebuh raya diingatkan tiada kedai makan dibuka di kawasan rehat dan rawat (R&R).

Bagaimanapun, fasiliti tandas awam masih beroperasi tetapi surau ditutup bagi mengelakkan aktiviti solat berjemaah.

Selain itu, stesen minyak hanya beroperasi antara jam 6 pagi hingga 12 tengah malam manakala tempat letak kenderaan hanya boleh digunakan sebagai tempat rehat dan tidak dibenarkan keluar kecuali ke tandas awam.

Selain itu, orang ramai juga dilarang melakukan aktiviti secara berkumpulan di kawasan R&R dalam tempoh kebenaran perjalanan.


Pengarang :