Seorang petugas diperiksa menggunakan penyukat suhu digital oleh anggota keselamatan sebelum dibenarkan memasuki kawasan Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 28 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Persatuan perubatan: Negeri lain wajar contohi Selangor saring rumah ke rumah

SHAH ALAM, 11 APRIL: Langkah kerajaan Selangor membuat saringan besar-besaran Covid-19 untuk memutuskan rantaian wabak itu harus dicontohi negeri lain, kata presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam.

Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata proses saringan rumah ke rumah bermula hari ini perkembangan positif bagi membantu mengurangkan beban Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kerajaan negeri lain harus mencontohi Selangor yang mengambil tindakan segera, ia sebenarnya boleh dilaksanakan dengan kerjasama syarikat swasta sekiranya ada kekangan kewangan.

“Kalau boleh saringan secara besar-besaran ini diadakan serentak di seluruh negara untuk melihat perubahan ketara,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Dr Zainal berkata saringan sedemikian juga mempercepatkan pengesanan individu mempunyai simptom sekali gus mengesan mereka yang memiliki antibodi kuat serta imun dengan virus berkenaan.

Selangor hari ini memulakan proses saringan beramai-ramai dalam satu masa pertama kali di Malaysia.

Seramai 5,000 orang disasar menjalani saringan dari rumah ke rumah secara berperingkat.


Pengarang :