Pegawai perubatan memeriksa maklumat pesakit yang disahkan bebas jangkitan Covid-19 di salah sebuah hospital di Wuhan pada 4 Mac 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Pesakit sembuh Covid-19 tidak kebal, boleh dijangkiti semula – WHO

SHAH ALAM, 26 APRIL: Pesakit Covid-19 yang sembuh diingatkan supaya terus berjaga-jaga kerana ia boleh dijangkiti semula memandangkan angka kematian global terus meningkat melebihi 200,000 orang, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Agensi itu berkata kadar pesakit yang sembuh tidak boleh dijadikan alasan bagi sesebuah negara melonggarkan langkah kawalan untuk merancakkan semula ekonominya, lapor Berita Harian.

“WHO menentang langkah terburu-buru melonggarkan kawalan kerana walaupun disahkan pulih, masih terdapat kemungkinan seseorang itu dijangkiti Covid-19 semula.

“Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan individu yang sembuh daripada wabak ini mempunyai antibodi dan akan terselamat daripada jangkitan kedua,” katanya.

Agensi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu bimbang golongan yang menganggap diri mereka ‘kebal’ selepas sembuh akan memandang remeh langkah keselamatan disyorkan apabila kembali bekerja.

Keyakinan tidak berasas itu dikhuatiri menjadi ancaman kepada orang lain kerana golongan berkenaan mungkin tidak lagi mahu memakai penutup hidung dan mulut kerana menganggap tidak akan membahayakan orang lain.


Pengarang :