Proses saringan Covid-19 dilakukan dari rumah ke rumah melibatkan 53 kediaman di Jalan Puyuh 6/1D dan Jalan Tiung 6/1E di Shah Alam pada 12 April 2020. Foto ihsan Facebook MBSA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Petugas barisan hadapan kerajaan Selangor disaring hari ini

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kakitangan Kerajaan Negeri yang menjadi petugas barisan hadapan memerangi Covid-19 disaring hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ujian saringan itu dilakukan di Pejabat Setiusaha Kerajaan (SUK) bagi memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19 ketika menjalankan tugas.

“Selangor mempunyai 17 pusat kuarantin dan hampir semua pegawai daerah, kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertugas.

“Jadi hari ini kita ambil persampelan mereka untuk pastikan tiada yang dijangkiti Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Amirudin, ketika ini lebih 3,000 individu termasuk yang baharu pulang dari luar negara sedang dikuarantin di Selangor.

Katanya, Saringan Komuniti yang dijalankan kerajaan Selangor akan diteruskan ke beberapa kawasan lagi.

Minggu lalu, saringan di Hulu Langat berjaya mengesan penduduk yang dijangkiti Covid-19 tetapi tidak menunjukkan gejala serangan.

Daripada 649 orang yang disaring pada 11 dan 12 April lalu, empat daripada lima yang didapati positif virus berkenaan tiada tanda penyakit atau simptom.


Pengarang :