Pasukan petugas perubatan menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat, pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Petugas hadapan di Selangor boleh mohon insentif asuhan mulai 20 April

SHAH ALAM, 18 APRIL: Petugas barisan hadapan agensi negeri yang berkhidmat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memohon insentif penjagaan anak-anak secara dalam talian bermula 20 April ini.

Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) memaklumkan permohonan boleh dibuat melalui pautan asuhpintar.yawas.my yang memperuntukkan RM150 untuk seorang anak bagi tempoh dua bulan iaitu Mac dan April.

“Insentif ini diberikan kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat di jabatan atau agensi kerajaan di Selangor yang perlu bekerja dan terpaksa mencari pengasuh untuk menjaga anak-anak mereka sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Berikut adalah syarat permohonan bantuan asuhan petugas barisan hadapan:

1. Terhad dua orang anak berusia bawah 12 tahun

2. Berkhidmat sebagai petugas barisan hadapan di jabatan atau agensi kerajaan di Selangor

3. Bekerja di perkhidmatan penting negara dan keutamaan diberikan kepada kakitangan Jabatan Kesihatan Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Selangor dan Jabatan Pertahanan Awam Selangor

4. Pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 03-5481 8800 / 011-3158 3804 / 011-2714 5515 (Isnin hingga Jumaat dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang) atau e-mel [email protected].

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan pada 1 April lalu memperuntukkan RM1.5 juta untuk melaksanakan insentif yang akan memanfaatkan 2,500 keluarga petugas barisan hadapan.


Pengarang :