Selangorkini
Muhamad Firdaus Abu Bakar (depan) bersama rakan-rakan barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh tetap ceria walaupun ada kalanya terpaksa bertugas hingga 14 jam sehari. Foto ihsan Muhamad Firdaus Abu Bakar
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Petugas kesihatan bertugas 14 jam sehari tanpa henti, sayu lihat pesakit

SHAH ALAM, 6 APRIL: Kakitangan kesihatan terpaksa bertugas 14 jam tanpa henti sehari pada waktu tertentu bagi mengurus kes Covid-19, kata penolong pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Muhamad Firdaus Abu Bakar, 25, yang turut membantu menyediakan Hospital Sungai Buloh sebagai hospital menangani wabak itu awal Februari lalu berkata mereka terpaksa bekerja dua syif berturut-turut berikutan kes banyak.

“Ia mengubah waktu bertugas yang mencecah sehingga 14 jam tanpa henti (dua syif), kami perlu bertugas lebih masa yang sudah tentu memenatkan kerana ada kalanya kes terlalu banyak dan ada rakan terpaksa dikuarantin.

“Rakan (setugas) terpaksa dikuaratin kerana bersentuhan dengan pesakit menyembunyikan sejarah perjalanan ke lokasi panas Covid-19 dan kontak rapat, perkara ini banyak berlaku di unit kecemasan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau turut berkongsi peristiwa sedih membabitkan seorang remaja sindrom down dari HTAR ke Hospital Sungai Buloh untuk dikuarantin kerana disyaki terkena jangkitan berikutan kontak rapat dengan pesakit.

“Dia hairan dan bertanya mengapa kami berpakaian perlindungan diri (PPE), dirinya tidak mengetahui perlu dikuarantin. Keluarganya sayu dan sedih tidak dapat menjaganya,” katanya.

Di sebalik pelbagai cabaran itu, Muhamad Firdaus berkata hati mereka terubat dan lebih bersemangat apabila melihat sokongan padu masyarakat melalui kata-kata motivasi dan sumbangan.

“Dahulu mungkin sokongan seperti itu tidak dapat dilihat secara terbuka, sekarang ramai menegur dan beri kata-kata semangat yang cukup bermakna buat kami,” katanya.


Pengarang :