AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Piala Duduk Rumah, Team Bosskurr dinobat juara

SHAH ALAM, 9 APRIL: Team Bosskurr dinobatkan juara Kejohanan Permainan Siber Selangor (SCG) 2020 Mobile Legend Bang Bang (MLBB) apabila membenam Geek Fam 2-1 pada pusingan akhir hari ini.

Keputusan itu dikongsi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter beliau sebentar tadi.

Kemenangan tersebut melayakkan pasukan yang dibarisi Logan, Leixia, Zaraki, Syno dan Scott membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000.

Pada aksi pembukaan, Team Bosskur mengalahkan Ezzy Esports (MyA) sebelum menewaskan penyandang tempat ketiga Kejohanan Dunia M1, Todak dalam pertemuan seterusnya.

Bagaimanapun, pasukan profesional berkenaan tumpas 0-2 kepada Geek Fam pada peringkat suku akhir sehingga jatuh ke kumpulan bawah.

Susulan kekalahan itu, Team Bosskur kemudian bertemu sekali lagi dengan pasukan Todak dan menang 2-0.

Kejohanan anjuran Pejabat Menteri Besar Selangor melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan IO Esports dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor bertujuan menggalakkan orang ramai duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM40,000 manakala yuran penyertaan RM10 yang dikutip akan didermakan ke Tabung Covid-19 Selangor.


Pengarang :