AGENSISELANGOR

PKNS lancar kempen raya bantu usahawan depani cabaran Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan kempen Raya Bersama PKNS bagi membantu usahawan menghadapi cabaran perniagaan ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata kempen dijalankan dengan kerjasama strategik platform e-dagang, Shopee Malaysia dan mendapat sokongan penuh Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor dalam merancakkan lagi ekonomi digital di negeri itu.

Beliau berkata program yang memasuki tahun kedua diharapkan dapat menjadi medium terbaik untuk usahawan PKNS mendepani cabaran perniagaan dalam tempoh sukar.

“Melalui inisiatif ini, semua usahawan PKNS akan dikumpulkan dalam satu halaman khusus yang akan diiklankan di halaman utama Shopee dan pembeli berpeluang menerima pulangan tunai syiling sehingga 20 peratus apabila melakukan pembelian bersama usahawan PKNS,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata program melibatkan 51 usahawan di bawah program PKNS BizClub bermula 15 April hingga 15 Mei 2020, dengan produk yang ditawarkan termasuk pakaian, kuih dan biskut raya serta keperluan kecantikan dan aksesori sempena Aidilfitri.

“Keputusan kempen tahun lepas kami bersama Shopee sangat memberangsangkan. Ada usahawan yang menjana jualan RM20,000 dalam masa sebulan.

“Kami amat teruja dan berharap lebih ramai yang akan dapat mencatatkan rekod seperti ini. Inisiatif kami bersama Shopee dapat meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan rakyat Selangor,” kata Mohd Azizi.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di https://shopee.com.my/m/raya-bersama-pkns.

-BERNAMA


Pengarang :