Keadaan ketika operasi sekatan jalan raya oleh anggota polis bersama tentera ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam pada 7 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKP: 1,095 individu ditahan, 815 kompaun dikeluarkan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Seramai 1,095 individu ditahan polis menerusi sekatan jalan raya semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 815 kompaun dikeluarkan dengan denda RM1,000, manakala 245 individu direman serta 38 lagi dijamin.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac hingga 10 April adalah sebanyak 7,759 individu. Seramai 373 dituduh di mahkamah,” kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan bermula semalam pihak polis mengambil ketetapan tidak lagi berkompromi terhadap sesiapa sahaja.

Menurut beliau tangkapan akan dilakukan kepada mereka yang masih ingkar serta degil arahan PKP.

“Mereka yang ditangkap dan dituduh di mahkamah bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Melalui hukuman tersebut kata beliau, mereka boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua pula, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda atau kedua-duanya.


Pengarang :