AGENSISELANGOR

PKP: 150 kes tipu penutup hidung dan mulut di Selangor, rugi RM1.9 juta

SHAH ALAM, 16 APRIL: Sebanyak 150 kes penipuan dalam talian berkaitan penjualan penutup hidung dan mulut direkodkan di Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas sehingga semalam dengan jumlah kerugian menjangkau RM1.9 juta.

Jurucakap Ops COVID-19 Polis Selangor ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata seramai 22 individu ditahan dan 17 kertas siasatan dibuka berhubung kes penipuan itu.

Beliau berkata dua daripada individu yang ditahan itu telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

“Siasatan mendapati kebanyakan mangsa yang ditipu itu membeli penutup hidung dan mulut untuk kegunaan sendiri namun ada juga yang mendapatkannya bagi tujuan dijual semula,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu nombor akaun penjual barangan secara dalam talian di laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi memastikan ia bukan sindiket penipuan.

Pada masa sama, Muhammad Yazid yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor berkata sepanjang pelaksanaan PKP dari 18 Mac hingga semalam, jenayah siber di negeri ini menunjukkan peningkatan 53.8 peratus, iaitu 283 kes berbanding 184 kes pada tempoh sama tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, penipuan dalam talian mencatatkan 102 kes berbanding hanya 26 kes bagi tempoh sama tahun lepas manakala penipuan skim pinjaman tidak wujud merekodkan 66 kes berbanding 60 kes pada 2019. Penipuan e-dagang juga naik daripada 47 kes kepada 89 kes sepanjang PKP ini,” katanya.

Muhammad Yazid mengingatkan orang ramai bahawa polis atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri tidak akan membuat panggilan meminta individu mendedahkan butiran diri serta nombor akaun mereka.

“Sekiranya orang ramai ada menerima panggilan kononnya daripada pihak berkuasa dan meminta butiran peribadi termasuk nombor akaun bank, putuskan talian serta merta bagi mengelakkan ditipu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :