Pesawah di Sekinchan melakukan penanaman padi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

PKP: Aktiviti pertanian di Sekinchan berjalan seperti biasa

SHAH ALAM, 5 APRIL: Aktiviti pertanian khususnya penanaman padi di Sekinchan masih berjalan seperti biasa walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ahli Dewan Negeri Sekinchan.

Ng Suee Lim berkata golongan petani di daerah berkenaan sudah selesai mengerjakan tanaman padi dan ketika ini sedang dalam proses pertumbuhan.

“Setiap hari, petani turun ke sawah melakukan kerja rutin mereka seperti membekalkan air dan menabur baja di tanaman tersebut bagi menggalakkan pertumbuhan.

“Mereka juga memastikan tanaman padi yang diusahakan bebas daripada serangan haiwan perosak atau padi angin supaya tidak menjejaskan hasil tuaian,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pemberian bantuan khusus Agropreneur berjumlah RM500,000 kepada kira-kira 5,000 petani dan nelayan di negeri itu bagi mengurangkan dampak wabak Covid-19.

Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 turut membantu 2,000 daripada golongan terbabit melalui pengagihan benih, ternakan, peralatan serta bahan mentah dengan peruntukan RM1 juta.


Pengarang :