Pasukan polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada 23 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKP: ATM nafi pukul orang awam

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan anggotanya memukul dan mencederakan seorang individu ketika melaksanakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan dakwaan yang tular di media sosial itu palsu dan mereka yang menyebarkannya boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Gambar tular berkenaan merupakan kejadian yang dilaporkan dalam Facebook Govt. Commerce College, Chittagong, Bangladesh bertarikh 17 Julai 2019.

“Masyarakat diminta berhenti menyebarkannya serta-merta, kerana mesej atau informasi itu boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Affendi berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung PKP melalui Telegram Majlis Keselamatan Negara di pautan https://t.me/MKNRasmi.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar dan audio, yang mendakwa seorang lelaki cedera dipukul oleh anggota tentera kerana mengingkari PKP.

-BERNAMA


Pengarang :