AGENDANASIONAL

PKP beri impak positif turunkan kes denggi

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19, secara tidak langsung memberi perkembangan positif terhadap kes denggi di Malaysia apabila bilangan kes yang direkodkan ketika ini menurun berbanding tahun lepas.

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Rose Nani Mudin berkata kes yang dicatatkan sejak Januari hingga Sabtu lepas (11 April) di seluruh negara menunjukkan penurunan daripada 39,805 kes dengan 64 kematian bagi tempoh sama tahun lepas kepada 36,529 kes dengan 60 kematian tahun ini.

Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan kes tertinggi iaitu 22,180 kes dengan 23 kematian, diikuti Johor 2,956 kes dengan 10 kematian; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (2,894 kes, empat kematian); Sabah (1,984 kes, sembilan kematian) dan Kelantan (1,386 kes, dua kematian).

“Antara faktor penyebaran virus denggi adalah pergerakan manusia. Apabila seseorang yang telah dijangkiti virus denggi pergi bekerja atau ke tempat lain, di situ sekiranya ada nyamuk menggigit individu berkenaan dan kemudian nyamuk yang sama menggigit orang lain yang sihat, secara tak langsung nyamuk itu telah menyebarkan virus kepada individu yang sihat.

“Jadi bila PKP dilaksanakan, orang ramai tak keluar rumah, tidak pergi kerja atau sekolah dan kurang pergerakan. Jadi, penyebaran virus terhalang dalam kalangan komuniti dan secara tidak langsung boleh mengurangkan kes denggi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Rose Nani berkata orang ramai seharusnya menggunakan sebahagian waktu duduk diam di rumah semasa tempoh PKP untuk membersihkan kediaman masing-masing, sekali gus menghapus tempat pembiakan aedes.

“Kita mesti lakukan aktiviti pencegahan iaitu dengan menjalankan pembersihan di dalam dan luar rumah. Hapuskan tempat pembiakan aedes, mana-mana bekas yang menakung air kita kena buang.

“Aktiviti ini (menghapus tempat pembiakan aedes) perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali kerana jika seekor nyamuk bertelur, hanya dalam masa lima hingga tujuh hari sahaja telur nyamuk boleh menjadi nyamuk dewasa. Kita tak nak nyamuk menjadi dewasa kerana ia boleh menyebar virus,” katanya dan menjelaskan bahawa cuaca dan vektor nyamuk adalah antara faktor yang mempengaruhi kewujudan kes denggi.

Menegaskan bahawa denggi berisiko membawa maut, Dr Rose Nani berkata berdasarkan semakan kes kematian, ada antara individu yang dijangkiti denggi berhadapan dengan risiko kematian hanya dua hari boleh meninggal berikutan komplikasi buah pinggang atau kegagalan hati.

“Virus denggi mempunyai empat serotip iaitu DEN1, DEN2, DEN3 dan DEN4. Individu yang pernah dijangkiti satu daripada serotip denggi ini masih mempunyai kebarangkalian untuk dijangkiti denggi sebanyak tiga kali lagi sepanjang hayatnya.

“Individu yang mengalami demam denggi buat kali kedua atau dikenali jangkitan sekunder akan mengalami komplikasi akibat demam denggi yang teruk berbanding individu lain yang belum terdedah virus denggi sebelumnya dan ini dibuktikan dengan kajian Dr Scott Halstead (pakar denggi) dan rakan-rakannya seawal 1960-an,” katanya.

Dr Rose Nani berkata risiko untuk berlaku komplikasi juga tinggi kepada individu yang dijangkiti denggi dan pada masa sama mempunyai penyakit lain seperti hypertensi, diabetes dan tiroid.

Mengenai operasi semburan kabus (fogging) ketika PKP, Dr Rose Nani berkata operasi masih dijalankan bagi setiap kawasan yang mempunyai kes denggi.

“Operasi dijalankan seperti biasa tetapi kita hanya buat semburan di luar rumah dan kita nasihatkan orang ramai guna semburan aerosol di dalam rumah. Petugas kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga seperti menjarakkan diri daripada orang ramai, memakai penutup hidung dan mulut dan selalu mencuci tangan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :