Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKP: Cuba bawa masuk warga asing, polis tingkat kawalan perairan negara

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Polis mempertingkatkan kawalan dan pemantauan di perairan negara susulan wujud cubaan membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini melalui ‘laluan tikus’.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini menggunakan bot dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini.

“Memang ada (cubaan bawa masuk pendatang tanpa izin) di sebelah Pantai Timur Sabah dan Pantai Barat (Semenanjung) dan perkara ini dipantau.

“Saya sendiri turun ke pos kawalan di Pantai Morib, Sepang dan memberi peringatan serta motivasi kepada anggota untuk mempertingkatkan rondaan supaya tidak ada pembolosan dan kemasukan pendatang tanpa izin kerana mereka berisiko,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

Sementara itu, ditanya mengenai penggunaan dron, beliau berkata pengunaan teknologi berkenaan dilihat amat efektif serta membantu anggota memantau pergerakan orang ramai dalam tempoh pelaksanaan PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Alhamdulillah, teknologi dron polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) banyak membantu khususnya di kawasan zon merah. Sebagai contoh di Simpang Renggam, Johor dan Sungai Lui, Hulu Langat penggunaan dron membantu polis mendapatkan data tepat lokasi rumah yang ada.

“Untuk kami mengira rumah di kawasan zon merah amat susah maka kami gunakan dron dan ia amat menjimatkan masa, selain mengurangkan risiko anak buah saya (anggota polis) terdedah kepada Covid-19,” katanya.

Abdul Hamid berkata dron itu diterbangkan di tempat tinggi untuk melihat keseluruhan kawasan zon merah bagi mengesan laluan tikus.

“Dron ini diterbangkan ke tempat tinggi yang mana kawasan tidak dapat dimasuki anggota polis untuk mengesan laluan tikus agar tindakan sekatan jalan raya dilakukan.

“Sekarang semua aset polis digerakkan untuk memastikan orang ramai mematuhi PKP seterusnya membolehkan rantaian Covid-19 di negara ini dapat diputuskan,” katanya.

Pada 23 Mac, Bernama melaporkan ATM dan polis melancarkan penggunaan teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau PKP yang dilaksana sebagai usaha membendung wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata kehadiran anggota tentera amat membantu tugas penguatkuasaan PKP dan lebih banyak sekatan jalan raya serta rondaan dapat diadakan.

“Sebelum ini ada aduan mengenai tempat berlindung (anggota bertugas di sekatan jalan raya) dan sebagainya tetapi sekarang ada khemah tentera dan kita tahu yang anggota tentera mempunyai logistik untuk tugasan seperti ini,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa polis mempunyai bilangan anggota yang mencukupi untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan dan rondaan dalam tempoh PKP.

“Sekarang tugas amat mencabar, (namun) polis ada cukup pegawai serta anggota dan kita ada (anggota) simpanan, mereka boleh diturunkan (digerakkan) bila perlu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :