Anggota polis, tentera dan Rela menutup jalan utama ke kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 30 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

PKP Diperketatkan: Bantuan makanan diteruskan sehingga Ramadan

SHAH ALAM, 15 APRIL: Bantuan makanan kepada penghuni tahfiz dan sebuah rumah yang masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui, Hulu Langat diteruskan sehingga Ramadan ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata ini bagi memastikan mereka mempunyai bekalan makanan mencukupi untuk keperluan berbuka puasa dan sahur sepanjang PKPD.

Edry Faizal Eddy Yusof

“Kita ada lebihan bantuan barang makanan daripada pelbagai agensi semasa PKPD dikuatkuasakan sebelum ini untuk disalurkan kepada mereka yang terbabit.

“Pada masa sama, pihak saya sendiri akan meneruskan bantuan kepada penduduk lain yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi hari ini.

PKPD di Hulu Langat berakhir semalam, kecuali Maahad Tahfiz An Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23 Kampung Paya Lebar yang dilanjutkan sehingga 28 April, kerana masih terdapat kes jangkitan Covid-19 di kedua-dua lokasi tersebut.

Pada 29 Mac lalu, kerajaan melaksanakan PKPD di tujuh kampung di kawasan Batu 21 hingga 24, Sungai Lui susulan terdapat 71 kes positif Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah.

Edry Faizal berkata, jika ada penghuni tahfiz dan rumah tersebut memerlukan khidmat kaunseling, pihaknya akan menghubungi agensi yang berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Batu 21 Kampung Sungai Lui, Mohd Razak Jalaludin berkata, beliau sentiasa mengingatkan penduduk yang tidak lagi dikenakan PKPD supaya terus mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Peringatan disampaikan melalui kumpulan WhatsApp supaya penduduk hanya keluar antara 7 pagi hingga 7 malam, itu pun atas urusan penting dan hanya ketua keluarga boleh berbuat demikian,” katanya.

 


Pengarang :