Anggota Tentera memeriksa setiap kenderaan di laluan keluar masuk jalan yang menghubungkan Pasar Borong Kuala Lumpur ketika tinjauan pada 20 April 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKP Diperketatkan diisytihar di Pusat Bandar Utara, sekitar Pasar Borong KL

SHAH ALAM, 20 APRIL: Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur kini diisytihar kawasan keenam arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 3 Mei selepas mendapat nasihat daripada menteri kesihatan.

“PKPD keenam ini dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19 serta membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuat kuasa.

“Semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata arahan PKPD itu membabitkan lapan parcel iaitu:

– Parcel A: Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

– Parcel B: Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

– Parcel C: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

– Parcel D: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

– Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur

– Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur

– Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B, Kuala Lumpur

– Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar, Kuala Lumpur

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi bilik gerakan PKP Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di talian 03-4026 7222.

Atau hubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-4048 2212.

Mengulas sama ada arahan PKPD itu akan menyebabkan bekalan barang basah terjejas, beliau berkata Pasar Borong Kuala Lumpur beroperasi seperti biasa kerana yang ditutup adalah kawasan perumahan yang dihuni ramai penduduk warga asing.


Pengarang :