Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (depan, kanan) bersama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (depan, kiri) membuat tinjauan di sekitar Masjid India yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes Covid-19 di lokasi itu pada 14 April 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKP Diperketatkan: Ibu pejabat Bank Muamalat di Jalan Melaka tutup

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Ibu pejabat dan cawangan Bank Muamalat Malaysia Bhd di Jalan Melaka, di sini, akan ditutup berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini hingga 28 April.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata pelanggan boleh ke cawangan terdekatnya di Jalan Ipoh untuk perniagaan perbankan mereka atau menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian.

Ia berkata bank akan terus menjalankan operasi asasnya untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggannya yang mungkin memerlukan perkhidmatan kritikal.

“Pada ketika ini, kami juga memberi jaminan kepada pelanggan Bank Muamalat bahawa perniagaan kami terus beroperasi seperti biasa, dengan gangguan minimum,” katanya.

Semua kawasan Masjid India dan jalan-jalan di sekitarnya diletak di bawah PKPD hari ini. Ini berikutan pelaksanaan PKPD di dua buah bangunan di Jalan Masjid India – Selangor Mansion and Malayan Mansion pada 7 April lepas.

-BERNAMA


Pengarang :