EXCOSELANGOR

PKP: Elak jadi mangsa jenayah, guna transaksi tanpa tunai

SHAH ALAM, 2 APRIL: Orang ramai diingatkan menggunakan transaksi tanpa tunai semasa berbelanja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata memasuki fasa kedua PKP, keadaan dilihat semakin mendesak serta mungkin berlakunya kejadian jenayah seperti rompak dan samun tanpa mengira waktu.

“Sekiranya terpaksa keluar berbelanja, pastikan tidak membawa wang banyak.

“Memandangkan premis di Selangor sudah banyak menggunakan aplikasi tanpa tunai, seeloknya gunakan kaedah bayaran tanpa tunai bagi mengurangkan risiko keselamatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rodziah berkata ciri-ciri keselamatan lain perlu dititikberatkan adalah memastikan pintu pagar dan pintu laluan keluar masuk di rumah sentiasa berkunci.

“Pastikan kenderaan diletakkan di luar rumah dikunci dan jangan sesekali meninggalkan barang berharga dalam kereta.

“Segala langkah keselamatan perlu dipertingkatkan bagi memastikan terhindar dari menjadi mangsa jenayah,” katanya.


Pengarang :