Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia melakukan kerja semburan sanitasi di sekitar kawasan sekatan jalan raya pada 5 April 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Lui Batu 21, Hulu Langat. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

PKP fasa tiga diharap turunkan kes Covid-19 di Hulu Langat

SHAH ALAM, 12 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal berharap lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan ke fasa tiga dapat menurunkan kes jangkitan Covid-19 di Hulu Langat.

Mazwan Johar berkata tindakan itu disambut baik dan wajar bagi memutuskan rantaian wabak dalam kalangan masyarakat di daerah itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 30 Mac lalu.

“Jika penurunan berlaku dan betul-betul berjaya di Hulu Langat, saya harap zon di bawah PKPD dapat diberi sedikit kelonggaran. Semua itu hanya boleh terjadi kalau penduduk mengikut saranan dan arahan kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

Namun menurut Mazwan, sehingga kini beliau belum mendapat maklumat sama ada PKPD akan diteruskan lagi.

Berdasarkan data Jabatan Kesihatan negeri setakat jam 12 tengahari semalam, Hulu Langat mencatatkan 382 kes.


Pengarang :