Pekerja sedang meneliti kualiti sarung tangan getah di kilang memproses Top Glove di Kawasan Perindustrian Meru pada 10 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKP: Jawatankuasa khas kaji sektor ekonomi dibenar operasi

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji sektor ekonomi yang boleh dibuka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga sehingga 28 April ini, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa tersebut dipengerusikan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya faham bahawa ekonomi negara kita terjejas kerana sekatan terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

“Untuk itu, kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan ketat,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin turut mengingatkan akan menarik semula kebenaran beroperasi jika terdapat pengusaha kilang atau syarikat melanggar peraturan.

“Kebenaran pembukaan beberapa sektor yang terhad ini bukan bermaksud kita melonggarkan PKP kerana perintah ini tetap berkuat kuasa dan semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mestilah dipatuhi,” katanya.

Pada PKP fasa pertama, sebanyak 22 sektor antaranya perkhidmatan hotel dan penginapan, pengangkutan, perkhidmatan dan perusahaan pelabuhan serta limbungan dibenarkan beroperasi.

Ia diikuti tambahan 10 sektor lagi dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan penting negara pada fasa PKP hingga 14 April.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan PKP dilanjutkan sehingga 28 April bagi membendung penularan Covid-19, dengan fasa pertama bermula dari 18 hingga 31 Mac diikuti dengan fasa kedua dari 1 April hingga 14 April.


Pengarang :