AGENDANASIONAL

PKP: Kadar kemalangan jalan raya turun 70 peratus – polis

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Kadar kemalangan jalan raya menurun hampir 70 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dan dua, yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, sebanyak 10,382 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh PKP yang masuk hari ke-32 hari ini.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 130 kemalangan maut membabitkan 145 kematian dicatat sehingga 14 April, manakala purata kemalangan ketika PKP fasa satu dan dua adalah sebanyak 370 kemalangan sehari.

“Trend ini menunjukkan penurunan hampir 70 peratus yang mana sebelum pelaksanaan PKP, polis merekodkan sebanyak 1,500 kes kemalangan setiap hari dengan 16 hingga 17 maut dicatatkan.

“Dengan pelaksanaan PKP, trend kemalangan maut menunjukkan penurunan antara empat hingga lima kemalangan maut dicatatkan setiap hari,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut Azisman, sebanyak 80 peratus daripada jumlah kemalangan maut yang dicatatkan semasa PKP fasa satu dan dua, adalah membabitkan penunggang motosikal.

Sementara itu, mengenai persiapan polis menghadapi bulan Ramadan, Azisman berkata pihaknya masih meneliti beberapa perkara berkaitan dalam pelaksanaan arahan PKP serta bergantung kepada pengumuman dan polisi kerajaan.

“Untuk pihak saya, adalah lebih baik jika bilangan kenderaan atas jalan raya kurang, dan apabila diumumkan bahawa tiada bazar Ramadan, maka ia lebih baik.

“Kalau tidak, wabak Covid-19 ini tidak dapat diputuskan rantaiannya, (dan) ini akan memeningkan polis trafik dengan kenderaan yang banyak di tempat meletak kenderaan di tepi jalan berdekatan bazar,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :