Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (depan, kanan) bersama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (depan, kiri) membuat tinjauan di sekitar Masjid India yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes Covid-19 di lokasi itu pada 14 April 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKP: NGO diminta dapatkan kebenaran buat kerja amal – KPN

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta dan dinasihat untuk mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat sebarang kerja amal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua polis negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata selain NGO, pihak swasta, agensi atau jabatan kerajaan serta mana-mana kementerian juga perlu mendapatkan kebenaran daripada MKN untuk menjalankan sebarang aktiviti.

“Pihak yang mahu melakukan kerja amal perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada MKN dan perlu mengikuti Tatacara Operasi Piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Ini juga termasuk jabatan kerajaan, kementerian serta pihak swasta bagi urusan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Menara City One, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan polis memberi keistimewaan kepada pihak tertentu termasuk orang kenamaan untuk tidak terikat dengan PKP, Abdul Hamid menafikan perkara berkenaan.

“Kami ada menerima beberapa laporan polis berkaitan perkara itu dan siasatan lanjut akan dijalankan termasuk memanggil individu terlibat untuk mendapatkan penjelasan mereka.

“Saya tahu tidak semua orang melanggar PKP dan saya percaya ada antaranya mendapat kelulusan (bergerak dalam tempoh PKP),” katanya.

Beliau menasihatkan semua pihak berkaitan supaya mematuhi arahan PKP termasuk mematuhi SOP ditetapkan MKN.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata beliau tidak pernah dihubungi oleh sesiapapun untuk mendapatkan “keistimewaan” bagi melakukan sebarang perjalanan tidak wajar dalam tempoh PKP ini berkuat kuasa.

“Segala peraturan terkandung di dalam PKP ini mesti dipatuhi semua pihak. Kecuali (perjalanan) bagi kes melibatkan kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :