Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan di Lok Kawi bagi menghalang orang ramai dari Sabindo dan Kinarut berurusan membeli barang keperluan dan urusan bank di Putatan untuk mengelakkan kesesakan pada 18 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKP: Operasi pasar awam, kenderaan awam dilanjut ketika Ramadan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Operasi pasar awam dibenarkan dilanjutkan dari 6 pagi hingga 2 petang ketika bulan Ramadan, berbanding pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari sebelum ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster seselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain itu, kerajaan juga memutuskan untuk membenarkan kenderaan awam beroperasi lebih awal iaitu dari 4 petang hingga 10 malam, berbanding 5 petang hingga 10 malam sebelum ini.

Katanya, kelonggaran waktu ini diberi bagi memudahkan umat Islam membuat persediaan berbuka puasa sepanjang Ramadan.

“Sepanjang bulan Ramadan, SOP (operasi tatacara piawai) PKP seperti yang diumumkan sepanjang PKP1, 2 dan 3 masih terpakai,” katanya dalam sidang media harian mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata setakat semalam, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan 835 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 581,942 kenderaan.

“Sebanyak 41,184 pemeriksaan mengejut diadakan dengan 6,658 premis diperiksa oleh pihak berkuasa, 763 individu ditangkap polis kerana ingkar PKP yang merangkumi 648 individu direman dan 115 dijamin polis.

“Seramai 860 individu juga dituduh di mahkamah semalam dan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 18,498 individu,” katanya.

Beliau berkata 253 operasi sanitasi meliputi 79 zon di 13 negeri, termasuk 39 kawasan di Johor dan 26 di Perak dijalankan, merangkumi 181 bangunan kerajaan, 158 tempat awam, 103 pusat perniagaan dan 16 pasar raya setakat semalam.

”Secara keseluruhan,2,423 bangunan kerajaan, 1,498 tempat awam, 1,590 pusat perniagaan, 248 pasar raya dan 1,205 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat disanitasi,” katanya.

 


Pengarang :