Pusat Kecemerlangan Hatimurni (Hatimurni) mengambil inisiatif menjalankan kelas secara dalam talian bagi mengelakkan pelajar tercicir dalam sukatan pembelajaran. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
RENCANAWAWANCARA

PKP: Pembelajaran secara maya semakin popular

Oleh Lizawati Bahanan

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Sejak Perintah kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lepas, pembelajaran secara maya atau digital menjadi semakin popular.

Kaedah ini bukan sahaja begitu sohor kini dalam kalangan pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi, malah turut diperluaskan kepada pelajar sekolah menengah dan rendah.

Tidak ketinggalan memanfaatkan kaedah pembelajaran ini ialah Pusat Kecemerlangan Hatimurni (Hatimurni), iaitu sekolah Islam swasta bagi pengajaran kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang telah memulakan pengajian KAFA menggunakan platform digital sejak 19 Mac lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Hatimurni Siti Khadijah Mohni, 41, berkata kelas secara digital dijalankan bagi mengelak pelajar pusat itu tercicir sukatan pelajaran yang sepatutnya diajar selepas cuti penggal persekolahan Mac lalu, namun sekolah terpaksa ditutup akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

“Kelas digital untuk pelajar di Hatimurni telah lama dirancang namun tertangguh disebabkan beberapa faktor, bagaimanapun selepas pengumuman PKP pada 16 Mac lepas, pihak kami mengambil peluang melaksanakan kelas tersebut bagi manfaat para pelajar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya, guru-guru akan membuat pengumuman melalui aplikasi whatsapp kepada ibu bapa mengenai topik yang akan diajar dan waktu video berkenaan akan dimuat naik ke platform media sosial Facebook.

Menurut Siti Khadijah, pada peringkat awal pelaksanaan kelas digital, ia dijalankan secara komunikasi sehala dengan tenaga pengajar akan merakam video dalam durasi 50 minit mengenai tajuk sesuatu mata pelajaran sebelum ia dimuat naik ke laman Facebook.

Video pengajaran dan pembelajaran itu akan disiarkan pada pukul 10 pagi pada hari yang telah ditetapkan untuk diakses pelajar.

Hatimurni merupakan sekolah Islam swasta yang ditubuhkan pada 2007, mengkhususkan kepada perkhidmatan kelas KAFA iaitu kelas mengaji (qiraat dan al-Quran), hafazan dan fardhu ain kepada pelajar dari usia tujuh hingga 13 tahun. Pusat itu juga menyediakan kemudahan transit serta pengangkutan kepada pelajar.

Kini, terdapat seramai 810 pelajar dengan 45 orang tenaga pengajar di tiga cawangan pusat berkenaan di Wangsa Maju, Setiawangsa di ibu negara dan Bandar Bukit Mahkota, di Bangi, Selangor.

TAMBAH BAIK KAEDAH PENGAJARAN & PEMBELAJARAN

Mulai 1 April lepas, pihak pengurusan Hatimurni menambah baik kaedah pengajaran dengan mengendalikan kelas digital menggunakan aplikasi zoom iaitu panggilan video secara beramai-ramai, bagi memudahkan interaksi antara guru dan pelajar.

“Buat permulaan, ia digunakan untuk kelas mengaji qiraat dan al-Qur’an selama 45 minit. Pautan aplikasi itu diberikan kepada ibu bapa sebelum kelas bermula,” katanya menambah kaedah ini mendapat sambutan positif daripada ibu bapa.

Kelas mengaji itu akan diadakan tiga kali seminggu iaitu pada Rabu, Khamis dan Jumaat bermula dari pukul 2 petang hingga 4.45 petang, melibatkan tiga mata pelajaran.

Beliau berkata kelas digital di Hatimurni ini merupakan satu daripada inisiatif pihaknya yang sedang dalam fasa untuk membuka francais pusat berkenaan di Shah Alam.

Menurut Siti Khadijah kelas digital di pusat itu akan diteruskan walaupun berakhirnya PKP kelak dan akan ditambah baik mengikut kesesuaian dari segi penyampaian.

“Pada masa akan datang, kaedah pengajaran dan pembelajaran akan dijalankan secara komunikasi dua hala, ia akan lebih bermanfaat kepada pelajar dan guru,” katanya.

KELEMAHAN & KELEBIHAN KELAS DIGITAL

Setiap perkara baharu, pasti ada kelemahan. Begitu jugalah bagi kelas digital KAFA ini. Antara kelemahannya ialah gangguan liputan ataupun pelajar tidak mempunyai akses Internet.

Menjelas lanjut, Siti Khadijah berkata, bagi kelas yang dijalankan secara komunikasi sehala, tenaga pengajar tidak dapat mengetahui sama ada pelajar faham atau tidak topik yang diajar.

“Pelajar juga tidak boleh bertanya sekiranya mereka mempunyai kemusykilan,” katanya menambah ada ketikanya terdapat masalah teknikal dan kelas terpaksa ditangguh atau dibatalkan terus.

Namun, kesulitan yang berlaku itu ditangani dengan segera dan sebaik mungkin dengan pihak pengurusan Hatimurni sentiasa mengambil maklum setiap kelemahan dan akan memperbaikinya dari semasa ke semasa untuk faedah bersama, katanya.

Di sebalik kelemahan kaedah pengajaran melalui platform digital, beliau mengakui terdapat kelebihan iaitu kelas secara digital ini iaitu dapat menjimatkan kos operasi dan tidak memerlukan ramai tenaga pengajar.

Justeru, guru mestilah kreatif dan dapat menarik minat pelajar untuk terus konsisten mengikuti setiap sesi pembelajaran yang diadakan.

“Guru tidak perlu ramai, rakaman biasanya hanya seorang atau dua orang guru dan boleh buat untuk banyak topik. Setiap guru dibekalkan dengan modul yang ditetapkan,” katanya.

INISIATIF BAIK DISOKONG IBU BAPA

Bagi kebanyakan ibu bapa, kelas digital KAFA yang diadakan sepanjang tempoh PKP ini merupakan inisiatif yang baik dan perlu diteruskan walaupun setelah tamat tempoh PKP.

Selain dapat meningkatkan kemahiran menggunakan teknologi maklumat dalam kalangan pelajar sekolah rendah khususnya, kelas digital ini juga mampu mengeratkan hubungan antara anak dan ibu bapa.

Ini kerana sepanjang pelajar menggunakan komputer riba, komputer atau telefon pintar mereka memerlukan bimbingan daripada ibu bapa.

Menurut eksekutif akauntan Farahshila Razali, 37, inisiatif kelas digital ini bukan sahaja dapat mendisiplin pelajar mengenai kepentingan ilmu, malah mereka dapat menggunakan komputer dengan tujuan bermanfaat.

“Inisiatif ini sangat sesuai kerana pelajar tidak perlu berada di sekolah untuk meneruskan latihan atau membuat ulang kaji,” katanya menambah penambahbaikan dari segi format penyediaan latihan atau nota perlu diberi perhatian agar ia lebih mudah diakses.

Sementara itu, wartawan Siti Azielah Wahi, 34, turut memuji usaha guru-guru Hatimurni yang menjayakan kelas digital sepanjang tempoh PKP ini kerana pelajar dapat meneruskan pembelajaran mengikut perancangan.

“Walaupun bukan wajib, tetapi inisiatif semasa PKP ini patut dipuji. Alternatif ini juga membuatkan anak-anak seronok mengulang kaji dan membuat latihan sebab menggunakan alat komputer,” katanya mengakhiri perbualan.

 

– BERNAMA


Pengarang :