Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan ketika melakukan rondaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan jangkitan wabak Covid-19 di sekitar perairan Selangor pada 24 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKP: Perairan negara selamat, terkawal

SHAH ALAM, 9 APRIL: Pematuhan komuniti maritim terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahap memuaskan membolehkan perairan negara berada dalam keadaan selamat dan terkawal, kata ketua pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil Mat Som berkata tangkapan sepanjang tempoh PKP bermula Mac lalu menunjukkan penurunan daripada 107 kes kepada 66 kes.

“Sebahagian besar kes-kes tangkapan adalah melibatkan Akta Perikanan (31 kes), Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (17 kes) dan Akta Imigresen (8 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zubil, selain penggunaan aset udara, Maritim Malaysia turut mengerakkan aset laut ke kawasan titik panas bersempadan dengan Thailand dan Indonesia.

Ia bagi mengesan dan mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin serta aktiviti jenayah di laut, dalam tempoh PKP dan memerangi pandemik Covid-19.

“Kita kenal pasti 75 kawasan titik panas di seluruh negara, merangkumi 64 kawasan di Semenanjung dan 11 di Sabah.

“Johor mencatatkan titik panas yang tertinggi dengan 15 kawasan, diikuti Negeri Sembilan (11), manakala Selangor dan Melaka masing-masing 10 titik panas, Kedah/Langkawi (6), Pulau Pinang (5), Perlis (4) dan Perak (3),” katanya.


Pengarang :