Pengunjung pasar raya Hero di Seksyen 13, Shah Alam beratur mengikut penjarakan sosial satu meter sebelum dibenarkan masuk pada 22 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKP: Suami tunggu dalam kereta, isteri masuk kedai

SHAH ALAM, 30 APRIL: Para suami dinasihatkan tunggu di dalam kereta ketika isteri keluar membeli barang keperluan bagi mengelakkan kesesakan di pasar raya, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya yakin pasar raya masih mengekalkan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat seperti fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun kini kelonggaran keluar diberikan kepada dua individu pada satu masa.

“Mengenai kesesakan di pasar raya dan sebagainya, saya lihat mereka mengikuti SOP yang kita keluarkan dari segi penjarakan sosial, jumlah mereka yang berada dalam pasar raya telah dipatuhi.

“Saya percaya walaupun ada peningkatan sedikit kerana dua yang (dibenarkan) keluar ini, SOP itu akan terus dikekalkan supaya tidak berlaku lagi kesesakan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata pertimbangan dua individu dibenarkan keluar pada satu masa dibuat selepas menerima pelbagai aduan termasuk isu kesukaran mencari parkir dan suami terpaksa menghantar isteri ke tempat kerja kerana tidak boleh memandu.

Ismail Sabri berkata keadaan kes Covid-19 yang mula melandai dan berkurang itu membolehkan kerajaan memberikan sedikit kelonggaran berbanding ketika PKP fasa satu dan dua.


Pengarang :