PENDIDIKANSELANGOR

PKP: Susun jadual guru, elak beban murid

SHAH ALAM, 12 APRIL: Pengurusan sekolah dan guru dinasihatkan supaya tidak membebankan murid dengan tugasan sekolah yang terlalu banyak dalam sehari, kata timbalan pengarah sektor pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor

Datin Nor Faridah A Bakar berkata mereka perlu memastikan jadual tugas guru disediakan dan disusun dengan baik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

“Jadual untuk guru perlu disusun supaya dalam sehari jangan sampai lima hingga enam subjek kerja sekolah diberikan kepada murid.

“Kita tidak boleh ikut jadual waktu sekolah biasa, mungkin dalam sehari ada dua subjek sahaja diberi supaya murid boleh sempat siapkan kerja sekolah dan hantar semula kepada guru mengikut waktu ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, beliau berkata guru yang membuat kelas dalam talian menerusi google classroom tidak harus rasa kecewa atau kurang motivasi sekiranya kehadiran murid tidak penuh.

“Kita perlu ambil tahu apa masalah dihadapi murid kita, mungkin ada keluarga hanya mempunyai satu sahaja komputer riba di rumah, jadi berebut, ibu nak guna untuk kerja, bapa nak guna, jadi guna kaedah atau medium lain untuk capai murid mereka,” katanya.


Pengarang :