Anggota Tentera memeriksa setiap kenderaan di laluan keluar masuk jalan yang menghubungkan Pasar Borong Kuala Lumpur ketika tinjauan pada 20 April 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKP tidak dilonggarkan, peraturan sedia ada kekal

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan tidak akan melonggarkan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun jumlah kes positif Covid-19 menunjukkan aliran penurunan dengan hanya 36 kes baharu dicatatkan semalam.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berikutan penurunan jumlah kes baharu di negara ini, ada pihak mula merasakan keperluan untuk melonggarkan PKP.

“Selagi PKP (sedia ada) tidak ditamatkan dan tiada SOP baharu diperkenalkan oleh kerajaan, maka peraturan dalam PKP sekarang terus kekal.

“Oleh itu pematuhan kepada arahan PKP masih menjadi tanggungjawab semua dan polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan tidak mahu apa yang terjadi di sesetengah negara berlaku di Malaysia, iaitu kes meningkat selepas sekatan pergerakan dilonggarkan.

“Ada sesetengah negara melonggarkan sekatan mereka apabila kes (positif Covid-19) berkurangan, akhirnya berlaku peningkatan semula hingga terpaksa mengisytiharkan darurat,” katanya.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 36 kes positif Covid-19 baharu di negara ini, iaitu jumlah kes terendah dicatatkan sejak 12 Mac lalu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 946 individu ingkar PKP ditahan semalam, merangkumi 822 orang direman serta 124 lagi diberikan jaminan.

“Daripada 946 individu yang ditahan, 433 adalah di zon merah. Jumlah tangkapan kumulatif sehingga semalam adalah 16,870 orang,” katanya.


Pengarang :