Selangorkini
Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia lengkap memakai topeng muka menunjukkan plakad peringatan untuk kekal di rumah ketika memulakan tugasan membantu polis dalam sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar ibu kota pada 22 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PM bayangkan PKP ‘mungkin berbulan’, ‘mungkin tidak balik beraya’

ccsb-ads

SHAH ALAM, 10 APRIL: Perdana menteri hari ini memberi bayangan sambutan Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 24 Mei depan mungkin berlangsung dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas Covid-19 hari ini.

Beliau berkata kehidupan mungkin tidak kembali seperti sedia kala selagi virus masih ada selain mengingatkan rakyat terus mengekalkan amalan penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri dan mengelakkan perhimpunan atau tempat sesak.

“Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi, kita tidak boleh ke bazar untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk bertarawih.

“Jadi bertarawihlah di rumah bersama keluarga, mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa. Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi,” katanya.


Pengarang :